Kuala Lumpur, 11 Ogos 2016 – Usaha strategik Media Prima Berhad (“Media Prima” atau “Kumpulan”) bagi menjana sumber pendapatan bukan tradisional telah mula membuahkan hasil dengan peningkatan 15 peratus dalam pendapatan pada suku kedua tahun kewangan 2016 berbanding suku sebelumnya. Pelancaran CJ Wow Shop, sebuah usahasama oleh Rangkaian Televisyen Media Prima (“MPTN”) yang dilancarkan April tahun ini, berjaya mencatatkan penjualan hampir RM20 juta dalam tempoh tiga bulan pertama beroperasi.

Datuk Seri FD Iskandar, Pengerusi Kumpulan Media Prima berkata, “Tindakan Kumpulan untuk memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan berbentuk ‘Perniagaan Kepada Pengguna (B2C)’ sepanjang 2016 terbukti tepat. Ini dapat dicapai walaupun pendapatan daripada penjualan akhbar serta pengiklanan bagi televisyen dan akhbar terus menurun, menggambarkan dengan jelas keberkesanan pelan kepelbagaian yang sedang diusahakan pihak Kumpulan, bagi menjana pendapatan bukan tradisional.”

Beliau menambah, tahun ini sahaja pihak Kumpulan telah melancarkan beberapa inisiatif baharu bagi mengurangkan kesan penurunan dalam pendapatan bersumber pengiklanan dan penjualan akhbar. Ini termasuk rombakan dalam ‘tonton’ (portal video atas talian berasaskan langganan), pelancaran FullAMark (portal pendidikan), aplikasi-aplikasi mudah-alih dan penerbitan digital yang tersedia untuk gajet IOS atau Android.

Sumber-sumber pendapatan baharu, terutama hasil jualan barangan melalui CJ Wow Shop, telah banyak membantu mengurangkan impak penurunan dalam segmen pendapatan tradisional Kumpulan. Pendapatan Kumpulan mencatatkan penurunan 6 peratus, daripada RM695.2 juta yang direkodkan pada 1HFY15 kepada RM653.6 juta untuk 1HFY16. Kumpulan juga merekodkan RM349.5 juta dalam pendapatan dan RM24.4 juta dalam Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sepanjang 2QFY16, berbanding RM365.8 juta dalam pendapatan dan RM42.3 juta dalam PAT pada 2QFY15.

Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima berkata, “Walaupun kami teruja dengan prestasi inisiatif-inisiatif terbaharu kami, peningkatan dalam pendapatan yang direkodkan oleh platform-platform media kami seperti Radio (12 peratus), Televisyen (3 peratus) dan Pengiklanan Luar Rumah (4 peratus) adalah satu keputusan positif walaupun terpaksa berhadapan sentimen pasaran dan ekonomi yang tidak menentu serta tempoh pembangunan inisiatif baharu. Kos permulaan dan pelaksanaan CJ Wow Shop dan stesen radio terbaharu Kool FM telah memberi kesan kepada PAT bagi kedua-dua perniagaan televisyen dan radio. Kami akan terus berusaha bagi memperluaskan sumber-sumber pendapatan bukan tradisional ini dan pada masa yang sama mempertahankan perniagaan-perniagaan teras kami.”

Beliau menambah, dalam industri media, faktor-faktor seperti perpecahan dalam segmen konsumer, pembangunan teknologi, peralihan para pengiklan ke media digital, serta peningkatan persaingan dari syarikat-syarikat media global akan terus memberi cabaran kepada pihak Kumpulan. Namun begitu, Media Prima tetap yakin dalam mengharungi cabaran semasa dengan pelan dan strategi perniagaan yang mantap.

MPTN dijangka akan terus menjana hasil melalui strategi kepelbagaian bagi pernigaan beli-belah di rumah, Video On Demand (VOD) dan Multi-Channel Network (MCN). Selain CJ Wow Shop, pembaharuan yang telah dilaksanakan kepada aplikasi ‘tonton’ (portal video streaming popular di Malaysia dengan 5.6 juta pengguna berdaftar), ditambah dengan penjajaran semula kandungan urban 8TV ke Studio8 yang hanya boleh ditonton melalui YouTube, merupakan antara contoh-contoh inisiatif perniagaan yang baharu diperkenalkan pada tahun ini. Ianya dijangka akan membolehkan MPTN mengukuhkan posisinya sebagai stesen televisyen Free-To-Air (FTA) terunggul di Malaysia.

Unjuran prestasi bagi industri media cetak di Malaysia dilihat akan terus mencabar dengan penurunan perbelanjaan pengiklanan ekoran sentimen pengguna yang lemah dan ketidak-tentuan ekonomi sekarang. Industri ini juga sedang berdepan dengan penurunan jumlah edaran, sebahagiannya disebabkan oleh peralihan pilihan pembaca ekoran perubahan teknologi dan cita rasa pengguna. Berdasarkan laporan Audit Bureau of Circulations Malaysia, edaran akhbar secara keseluruhannya, mencatat penurunan 12%, melibatkan semua akhbar bahasa Inggeris dan vernakular sepanjang Julai hingga Disember 2015 berbanding tempoh yang sama tahun 2014.

Seperti mana-mana syarikat akhbar yang lain, cabaran-cabaran ini telah memberi kesan terhadap perniagaan cetak Media Prima, di mana The New Straits Times Press (M) Berhad (“NSTP”) untuk enam bulan pertama tahun 2016 mencatat penurunan pendapatan sebanyak 18 peratus, yang memberi kesan kepada PAT untuk ditutup pada RM0.5 juta berbanding tempoh yang sama tahun 2015. NSTP akan sentiasa terus melaksanakan strategi pembaikan dan memperkemaskan lagi inisiatif-inisiatif pengurusan kosnya bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan.

Peralihan pilihan pengguna juga dilihat sebagai peluang bagi NSTP untuk memberi fokus kepada penyampaian kandungan melalui media digital disamping mengekalkan penerbitan media cetak tradisional. NSTP berjaya mencatatkan lebih 100 peratus peningkatan dalam pendapatan media digital untuk 1HFY16, dari tahun-ke-tahun (year-on-year).

Pelancaran aplikasi mudah alih untuk New Straits Times, BH dan Harian Metro, termasuk kandungan berita melalui platform digital seperti laman berita, ePaper, Google Newsstand dan laman-laman sosial media, menawarkan integrasi yang lancar antara media tradisional dan baru bagi para pengiklan. Penerbitan majalah berinteraktif digital seperti ZIP, Tech Kingdom, Speed and Wheels, LET, Dhiya dan juga Premium BH Plus dijangka mampu menjana hasil pendapatan pengiklanan tambahan. NSTP juga bercadang mengambil kesempatan dari kedudukannya yang kukuh dalam bidang pendidikan, dengan melancarkan FullAMark, portal pembelajaran berinteraktif untuk murid-murid sekolah.

Big Tree Outdoor (“BTO”), syarikat pengiklanan luar rumah Media Prima, akan juga berusaha memperkembangkan tawaran digital iklan luar rumahnya di tapak-tapak premium dan lokasi tertentu, sambil meneroka peluang-peluang perniagaan baru. Konsesi pengiklanan yang baru dimeterai bagi Jaluran Tambahan LRT dan projek-projek infrastuktur yang lain bakal membuka peluang untuk menjana pendapatan bagi platform tersebut. BTO kini menguasai lebih 44% pegangan dalam pasaran pengiklanan luar rumah tempatan.

Media Prima Radio Networks (“MPRN”) pula sedang menanti keputusan kaji selidik pendengar oleh GFK, dalam usahanya mencari pasaran baru dalam alam maya radio. Pelancaran segmentasi InterAds MPRN sejak pertengahan tahun lalu telah terbukti berkesan dikalangan pengiklan, yang rata-rata yakin dengan nilai tambah yang dijana MPRN bagi pelaburan mereka.

Dalam Media Digital, Media Prima Digital (“MPD”) akan berusaha untuk menyokong kesemua inisiatif digital dalam Kumpulan. Platform tersebut telah bergerak kearah konsultansi digital serta aplikasi mudah alih dan permainan. Aplikasi digital pertama MPD, Ejen Ali, telah mencapai lebih 260,000 muat-turun semenjak dilancarkan Mac tahun ini. MPD dijangka akan mampu menjana lebih banyak pendapatan dari pengiklanan dan pembelian dengan pelancaran lebih banyak app tak lama lagi.

Di samping menjadi syarikat pengeluar kandungan Primeworks Studios (PWS), syarikat produksi Media Prima tersebut telah berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai pengedar kandungan yang terunggul di Malaysia melalui kejayaan pengedaran filem-filem popular box office seperti BoBoiBoy The Movie dan Ada Apa Dengan Cinta 2. PWS juga sedang mencari peluang-peluang untuk memperkembangkan lagi kehadirannya dalam industri kandungan dengan mengisi permintaan dalam media digital dan perkhidmatan siaran langsung (streaming) untuk produksi kandungan.

TAMAT

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Media Prima Berhad di: 603 – 1300 300 672 Ext: 8949 atau 03 – 2724 8949
Azlan Abdul Aziz di [email protected]/ atau 6012-614 0522
www.mediaprima.com.my/http://twitter.com/MPBtalk

Mengenai Media Prima
Media Prima Berhad (“Media Prima” atau “Kumpulan”) merupakan sebuah kumpulan media bersepadu penuh yang terbesar di Malaysia.

Dengan himpunan lengkap syarikat-syarikat pelbagai platform termasuk Televisyen, Percetakan, Radio, Pengiklanan Luar, Kandungan dan Media Digital, Media Prima, yang juga tersenarai di Papan Utama di Bursa Malaysia, juga merupakan antara 100 syarikat awam terbesar di Malaysia berpandukan hasil.

Bukan hanya memiliki kepentingan ekuiti dalam empat stesen televisyen percuma terbesar di Malaysia, iaitu TV3, 8TV, ntv7 dan TV9, Kumpulan juga menguasai lebih dari 98 peratus ekuiti dalam The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), syarikat penerbitan akhbar terbesar Malaysia, yang memiliki tiga akhbar kebangsaan iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

Melalui anak syarikat media digitalnya, Media Prima Digital merangkumi inovasi teknikal, penyelesaian digital dan strategi kreatif. Ia menawarkan perundingan digital holistik yang merangkumi penyelesaian kreatif, perkhidmatan platform pelbagai, kepakaran e-dagang dan juga terlibat dalam pembangunan dan inkubasi aplikasi mudah alih dan permainan. Sementara itu, Media Prima Labs, sebuah unit di bawah Media Prima Digital, akan memanjangkan harta intelek Kumpulan yang unik ke pasaran permainan digital dan inovasi teknologi yang meluas.

tonton merupakan video portal # 1 di Malaysia yang menawarkan secara percuma kandungan yang disokong pengiklanan (AVOD), dengan lebih daripada 5.6 juta pengguna berdaftar dan pertumbuhan sebanyak 22,000 pengguna setiap minggu. Visinya untuk menjadi SVOD # 1 dan syarikat yang mempunyai kandungan terbaik untuk rakyat Malaysia, dimana misinya adalah untuk menjadi laman video dalam talian no. 1, yang mempunyai perkhidmatan harus-milik bagi setiap rumah penduduk dan isirumah di Malaysia, serta boleh diakses di mana-mana dan bagi mencegah cetak rompak.

Sementara itu, Media Prima CJ O Shopping Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat media dagang yang menjalankan perniagaan beli-belah di rumah di Malaysia yang dikenali sebagai CJ WOW SHOP melalui pelbagai platform termasuk televisyen, perdagangan elektronik serta mudah-alih.

Bagi platform radio pula, Kumpulan diwakili oleh empat stesen radio tempatan popular, iaitu Fly FM, Hot FM, One FM dan Kool FM. Media Prima juga merupakan peneraju industri dalam Pengiklanan Luar, diwakili oleh Big Tree Outdoor Sdn. Bhd., The Right Channel Sdn. Bhd., Kurnia Outdoor Sdn. Bhd., Gotcha and UPD Sdn. Bhd.

Disamping itu, Kumpulan juga memiliki syarikat produksi Primeworks Studios Sdn Bhd. Hari ini, ianya sebuah syarikat produksi terbesar di Malaysia, yang menghasilkan kandungan untuk TV sejak 1984, serta filem-filem untuk tayangan perdana sejak 1994.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Post comment