MALAYSIA'S LEADING FULLY- INTEGRATED MEDIA COMPANY

Press Releases

Aplikasi Permainan Mudah Alih J Revolusi Diiktiraf Sebagai Permainan Baru Kegemaran Apple Store

Aplikasi Media Prima Labs Pertama Mendapat Pengiktirafan Sedemikian

Kuala Lumpur, 23 Januari 2017 – Selepas dilancarkan seminggu lalu, permainan mudah alih J Revolusi tersenarai dalam tangga 10 teratas kategori permainan aksi di Apple Store apabila mendapat jumlah muat turun yang memberangsangkan iaitu kira-kira 12,000.

Terbaru, hari ini menerusi ruangan ‘New Game That We Love’ , J Revolusi dipilih oleh Apple Store sebagai salah satu permainan yang menjadi pilihan mereka. Ini satu perkembangan yang cukup membanggakan kerana buat pertama kalinya aplikasi yang dibangunkan oleh Media Prima Labs mendapat pengiktirafan sebegini.

J Revolusi merupakan permainan ‘First Person Shooter’ berdasarkan filem yang pertama dilancarkan di Malaysia. Dengan latar 3D yang canggih serta Misi Operasi Khas, permainan J Revolusi penuh dengan aksi di mana pemain boleh memilih di antara karakter Eddie atau Jay yang bertugas di dalam Skuad Khas Elit Malaysia.

Permainan mudah alih J Revolusi menterjemah ceritera filem J Revolusi ke dalam sebuah dunia yang penuh interaktif di mana para pemain berpeluang merasai sendiri pengalaman berada dalam skuad elit tersebut. Filem J Revolusi yang menjadi inspirasi permainan ini pula akan menemui penonton di seluruh pawagam tanahair 2 Mac 2017 ini.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs & Operasi, Nicholas Sagau berkata “Kami di Media Prima Labs amat teruja dan gembira dengan pengiktirafan Apple Store ini. Bukan mudah untuk aplikasi tempatan khususnya mendapat pengiktirafan sedemikian rupa tetapi kejayaan awal ini membuktikan bahawa permainan J Revolusi sudah mula mendapat tempat di hati ‘gamer’ tanahair. Berdasarkan sambutan dan maklum balas positif yang diberikan pengguna aplikasi ini, kami yakin permainan mudah alih ini akan mencatat lebih banyak lagi muat turun. Rata-rata dari mereka suka akan konsep permainan ‘FPS’ yang ditampilkan di samping rekaan grafik menarik yang ditonjolkan dalam setiap latar permainan ini”, ujar Nicholas lagi.

Menerusi aplikasi ini, pemain boleh memilih untuk bertarung di 3 lokasi yang berbeza iaitu Kilang Lombong, Gudang ataupun Kota Raya selain pilihan menggunakan pelbagai jenis senjata seperti M4 Carbine, MP5, Glock 18, SPAS12 dan Remington 700. Aksesori tambahan juga boleh didapati menerusi pembelian ‘in-app’. Para pemain juga berpeluang mengumpul mata dalam permainan ini dan menaiktaraf pilihan senjata dan aksesori mereka. Dibangunkan dengan kesan bunyi dan muzik latar yang cukup menarik, permainan J Revolusi turut menampilkan kesan grafik yang padu dan bersesuaian dengan ‘mood’ serta konsep keseluruhan cabaran yang ingin ditonjolkan permainan ini. Tambahan pula, ciri-ciri istimewa seperti latar tempat yang menampilkan bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas membuatkan permainan ini lebih dekat di hati penonton dan ‘gamer’ di Malaysia. Bukan sahaja karakter yang menyerupai pelakon filem J Revolusi sendiri iaitu Zul Ariffin dan Izara Aishah, suara mereka turut digabungkan ke dalam permainan ini.

Laman utama aplikasi J Revolusi pula menawarkan tutorial untuk pemain membiasakan diri dengan konsep serta mekanisma permainan. Selain itu, pemain juga boleh menentukan warna senjata mereka ataupun membuat pembelian kredit ‘in-app’ untuk menaiktaraf jenis senjata yang digunakan. Untuk bermain permainan ini, pemain hanya perlu memulakan misi mereka dengan memilih senjata yang ingin digunakan. Objektifnya cukup mudah; menewaskan semua musuh yang cuba menghalang misi di sepanjang perjalanan. Untuk menggerakkan watak, para pemain hanya perlu mengawal skrin sesentuh. Misi selesai apabila semua musuh ditumpaskan dan beralih ke peringkat seterusnya, cabaran lebih besar menanti pemain.

Muat turun aplikasi J Revolusi sekarang secara percuma di Apple Store dan Google Play Store. Permainan mudah alih interaktif ini pastinya menghangatkan lagi kemunculan filem J Revolusi yang dijadualkan menemui menonton awal Mac nanti. Media Prima Labs akan turut melancarkan beberapa lagi aplikasi menarik dalam masa terdekat yang mampu memberikan manfaat kepada pengguna di luar sana.

-TAMAT-

PERTANYAAN MEDIA:
Dhiya Aizat
Lead, Marketing & Communications, Media Prima Digital
dhiya.aizat@mediaprima.com.my
www.mediaprimalabs.com @ 603-7726 6333 ext. 12541

Mengenai Media Prima Labs
Dengan permintaan yang semakin meningkat untuk aplikasi mudah alih dan permainan, Kumpulan Media Prima telah mengambil langkah ke hadapan untuk menjuarai pembangunan dalam industri ini sehingga tertubuhnya Media Prima Labs (MP Labs).

MP Labs kini telah melaksanakan dan berjaya membangunkan produk-produk berasaskan harta intelek unik platform Kumpulan, seperti Jalan-Jalan Cari Makan, Harian Metro Mountain Bike Grand Prix, Ejen Ali dan banyak lagi.
Selain daripada membangunkan produk mudah-alih bagi platform Kumpulan, MP Labs juga mengalu-alukan pelbagai idea-idea luar. MP Labs berjaya mencapai objektifnya untuk membangunkan 13 aplikasi mudah-alih dan permainan menjelang akhir tahun 2016.

Tentang J Revolusi
J Revolusi mengisahkan tentang Jay Zulkarnain (Zul Ariffin) yang merupakan seorang pegawai UTK (Unit Tindakhas). Jay dan pasukan operasinya sangat terlatih dan amat digeruni pengganas negara. Apabila adik perempuan Jay, Dian (Nur Fazura), seorang ejen yang dalam penyamaran, ditangkap oleh pengganas misteri yang memerangkap Jay dengan tuduhan membunuh ahli kumpulannya, Jay perlu bertindak melawan masa untuk menyelamatkan adiknya dan membongkar rahsia lelaki yang tekad menghancurkan Jay.

Posted by Dospel & GanjaParker